Wednesday 22 June 2011

Ketuanan dan Keistimewaan Orang melayu Di Malaysia.

Kita.Orang Melayu.Hidup dengan Hak Keistimewaan Orang Melayu.
      Sedar tak sedar, hidup sebagai seorang 'tuan' di negara ini membuatkan kita memperolehi keistimewaan dari kaum-kaum yang lain. Kadang-kadang, hak ini juga menyebabkan kita tidak merasai kesusahan kaum lain dalam mencapai sesuatu.Mereka perlu melipatgandakan usaha mereka untuk mencapainya berbanding kita yang dapat memperolehinya dengan lebih mudah.
     Apa yang dimaksudkan dengan Ketuanan Melayu?
     Saya tertarik dengan takrif yang diberi oleh Dr MAZA mengenai Ketuanan Melayu :

"...jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘melayu’, ia bermaksud orang melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan melayu’. Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia’..." 

Dan penerangannya mengenai Hak Keistimewaan : 

"Ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan melayu’, kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain. Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan."

      Kerana merasakan kita adalah 'tuan' maka kita rasa kita berhak mendapat keistimewaan. Hak Keistimewaan orang melayu bermula apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan.Dasar ini terang lagi bersuluh berpihak kepada orang melayu apabila orang melayu dilihat mundur dari segi ekonominya berbanding orang cina yang tinggal di bandar dan menjalankan perniagaan di sana.

     Tapi adakah kita merasakan hak keistimewaan ini sebenarnya membantu Orang Melayu? Saya berpendapat : Tidak Sepenuhnya. Dengan adanya hak ini, kita sebenarnya hanya mengunakan 50% - 80% usaha untuk mencapai sesuatu dimana kita yakin 30% usaha lagi tidak perlu disumbangkan kerana perkara itu hanya perlu diserahkan kepada kerajaan yang pasti akan menolong kita.

    Hak Keistimewaan ini hanya membantu orang melayu dari segi luarannya menyebabkan orang melayu kurang berusaha dan meningkatkan rasa kebergantungan kepada kerajaan.Dari segi sikap dan peribadinya, orang melayu akan ketinggalan berbanding kaum lain yang sentiasa meningkatkan daya usaha mereka.Kita akan selamat di negara sendiri, tetapi adakah kita akan mendapat layanan sebegiturupa di negara lain.Kita juga perlu menukar gear usaha kita supaya dapat duduk setaraf dengan yang lain.

Kesimpulannya,
    Islam tidak membezakan diantara satu-satu kaum di muka bumi ini hatta walaupun Nabi Muhammad S.A.W diutuskan dikalangan orang arab tetapi itu bukan bermakna kaum arab lebih mulia dari kaum-kaum yang lain.Yang membezakan kita semua adalah TAQWA kita terhadap Allah.Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Al Hujurat Ayat 13 :

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya." 

Dan Anda, apa pendapat anda tentang isu Ketuanan dan Keistimewaan Orang Melayu? 

No comments:

Post a Comment